RABU, 4 NOVEMBER 2020

MIRI: Satu pemeriksaan menyeluruh akan dilaksanakan penguatkuasa di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri seperti Majlis Bandaraya Miri (MBM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke atas premis-premis berlesen di bawah seliaan Majlis Bandaraya Miri.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, mereka akan diletakkan di lokasi tumpuan awam seperti pasar, tamu, pasaraya dan akan memberikan amaran sebelum mengenakan kompaun sebanyak RM300 bagi yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kami akan melakukan pemeriksaan mengejut pada esok hari (Rabu).

“Beberapa ahli jawatankuasa JPBB Miri dan pegawai penguatkuasa akan melakukan pemeriksaan mengejut di semua premis yang mempunyai lesen di bawah Majlis Bandaraya Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Bahagian Miri – Penguatkuasaan dan Pemantauan di Kompleks Islam Sarawak Miri pada Selasa.

Daerah Miri telah bertukar ke Zon Kuning selepas beberapa kes postif COVID-19 telah dikenal pasti dan JPBB Miri bertungkus lumus memastikan wabak pandemik COVID-19 itu dapat dibanteras penularannya.

Sehingga hari ini, sebanyak 5 kes tempatan dan 14 kes import telah dikesan di Miri.

Datuk Lee yang Menteri Pengangkutan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah pihaknya telah bertungkus lumus mengenal pasti kesemua mereka dari Kluster Green Hill yang datangnya dari Kuching dan kini telah melakukan ujian swab.

“JPBB Miri telah bekerja keras dalam mengesan mereka dari kontak Kluster Green Hill di Kuching.

“Mereka bekerja sejak dari mula kes COVID-19 ini dikesan dan sehingga kini telah berjaya mengesan kesemua 12 kenalan.

“Kesemua mereka ini telah menjalani ujian swab dan kini sedang menantikan keputusan seterusnya,” tambahnya.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Majlis Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick dan wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan. -EDISI UKAS

add comment