RABU, 4 NOVEMBER 2020

MIRI: Amalan dan sikap menghormati budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini wajar dimanfaatkan semua kaum. 

Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, semua masyarakat di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya berpeluang merasai sendiri kemeriahan perayaan yang disambut setiap kaum pada sepanjang tahun. 

“Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana dapat meraikan perayaan dalam keadaan yang aman dan damai. 

“Gunakan setiap peluang yang ada di samping amalan sikap hormat menghormati setiap agama dan perayaan yang diraikan. 

“Usaha ini hendaklah berterusan bagi menggalakan perpaduan dan kesejahteraan bersama,” katanya semasa berucap dalam Program Juh Berambeh @ RTM di Coco Cabana Miri pada Selasa. 

Ujar Dato Gerawat yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu lagi, Kerajaan Sarawak juga membantu dan membela kebajikan kaum termasuk agama bukan Islam. 

“Penubuhan Unit hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) banyak membantu agama-agama lain di Sarawak. 

“Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk UNIFOR bagi membantu pembinaan dan baik pulih infrastruktur rumah ibadat dan menampung kegiatan dan aktiviti rumah ibadat. 

“Selain itu, banyak lagi inisiatif dari Kerajaan Sarawak untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di negeri ini,” ujarnya. 

Majlis itu turut diadakan rakaman Pentas Krismas dengan persembahan daripada artis tempatan seperti Ricky Andrewson, Rosiana Urai dan ramai lagi.

Hadir sama ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon, Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak Abdul Hadi Mohd Yusof dan Presiden Rurum Kelabit Dato Dr Philip Raja. -EDISI UKAS

add comment