KHAMIS, 5 NOVEMBER 2020

BEKENU: Penduduk khususnya petani dan penternak digesa untuk menjalinkan hubungan baik dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Sarawak dalam usaha merapatkan lagi hubungan sedia ada.

Pegawai Pertanian Bahagian Miri Hafriz berkata, menjadi tugas dan peranan Jabatan Pertanian Sarawak sebagai pemudahcara kepada keperluan petani dan penternak dalam memperkembangkan lagi sektor pertanian di kawasan setempat dan negeri. 

“Inilah hasrat Jabatan Pertanian Sarawak yang telah diamanahkan untuk bekerjasama dengan petani dan nelayan bagi mempertingkatkan lagi hasil pengeluaran khususnya di kawasan luar bandar. 

“Dalam pada itu, penganjuran program AgriCOP ini juga bertujuan memperkenalkan teknologi baharu dalam pertanian selain pengetahuan ke atas kemahiran baru dalam sektor pertanian secara keseluruhannya,” katanya semasa berucap mewakili Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus dalam Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCoP) di Dewan Masyarakat Sepupok pada Rabu.

Jelas Hafriz lagi, AgriCOP ini juga bertujuan untuk mendapatkan informasi dan permasalahan pertanian di kawasan setempat melalui maklum balas terkini daripada keluarga tani. 

Seramai 168 peserta yang terdiri dari petani telah menghadiri AgriCOP ini yang didedahkan dengan kursus fertigasi dan tanaman sayur-sayuran. -EDISI UKAS

add comment