KHAMIS, 5 NOVEMBER 2020

MIRI: Operasi penguatkuasaan dan pemantauan berhubung aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 telah diteruskan di Tamu Muhibbah Miri, Miri Central Market dan Miri Open Air Market seawal pagi Khamis. 

Menteri Pengangkutan Sarawak dan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, operasi ini diadakan bagi memastikan segala SOP COVID-19 dipatuhi dan semua kemudahan berkaitan SOP COVID-19 disediakan dan dipatuhi di kawasan tumpuan awam ini. 

“Saya telah memberikan penjelasan kepada penjaja dan peniaga berlesen berhubung keperluan mematuhi SOP COVID-19. 

“Mereka bersetuju dan faham keadaan sekarang yang memerlukan kerjasama semua pihak mengetatkan pematuhan SOP,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan Pemantauan dan Pemeriksaan JPBB Miri di Tamu Muhibbah Miri, Miri Central Market dan Miri Open Air Market pada Khamis.

Hasil pemeriksaan didapati ada penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan di premis-premis tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin bersama dengan Pegawai Kesihatan Miri dan Pejabat Residen turut menemu bual penjaja dan peniaga bagi mendapatkan maklumat lengkap dan maklum balas terkini berkaitan pematuhan SOP COVID-19 sejak pandemik menular pada awal tahun. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, Pegawai Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan pegawai penguatkuasa dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Miri. -EDISI UKAS

add comment