100 KIR Kampung Beradek, Semilang Dan Tiang Api Terima Bantuan Makanan Daripada Badan Sukarelawan

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sebanyak 100 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan makanan daripada empat badan sukarelawan dalam satu Misi Bantuan Kebajikan Pasca Banjir. 

Menurut Presiden Pengasas Kenyalang Prodigy Adzim Abdul Rahman yang merupakan salah seorang daripada pengasas badan sukarelawan belia yang terlibat, sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang terlibat dalam banjir besar baru-baru ini. 

“Pada misi Bantuan Kebajikan Pasca Banjir kali ini, sebanyak 100 bungkus makanan akan kita agihkan kepada penduduk yang tinggal Perkampungan Tanjung Embang meliputi Kampung Beradek, Semilang dan Tiang Api. 

“Pada banjir yang berlaku baru-baru ini, penduduk di situ telah terputus bekalan makanan akibat banjir di Kuching dan air pasang besar. Ini telah menyukarkan penduduk kampung untuk ke ‘darat’ untuk mencari rezeki dan bekerja.

“Bantuan yang disampaikan ini akan dapat meringankan beban penduduk dalam meneruskan kehidupan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas bersama 100 sukarelawan yang terdiri daripada belia-belia Sarawak menghantar bantuan makanan tersebut pada Sabtu lepas. 

Tambah Adzim lagi, selain Kenyalang Prodigy sebanyak tiga buah badan sukarelawan lain turut terlibat sama dalam Misi Bantuan Kebajikan Pasca Banjir iaitu YouLEAD Sarawak, PIMPIN Sarawak dan Enlight Malaysia.

“Bantuan makanan seperti makanan kering, beras, gula, tepung, milo dan lain-lain ditaja Yayasan Sukarelawan Siswa.

“Mereka yang terlibat ini juga merupakan belia-belia yang secara sukarela membantu dalam melancarkan misi kemanusian ini,” tambahnya. 

Mengulas lanjut mengenai badan sukarelawan Kenyalang Prodigy yang diasaskannya, Adzim memberitahu ianya merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dianggotai belia-belia Sarawak. 

“Misi khusus Kenyalang Prodigy ialah untuk memartabatkan kepimpinan belia-belia Sarawak melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang berlandaskan Misi Pembangunan Mampan (UN-SDG).

“Menerusi aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan ini membolehkan belia-belia Sarawak terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kebajikan sekaligus meningkatkan imej belia Sarawak di mata masyarakat,” ujarnya. 

Hadir sama Penghulu Kawasan Kampung Beradek, Semilang dan Tiang Api Bolhassan Ibrahim dan Koordinator yang juga Ketua Misi Mohd Syafiq Mohamad Razali. -EDISI UKAS

Share

add comment