620 Pati, 37 Tekong Ditahan Dalam Op Benteng

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

BAU: Seramai 620 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 37 tekong berjaya ditahan dalam Op Benteng di sempadan Sarawak yang dilaksanakan bermula Mei hingga Disember tahun lepas.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa dalam kenyataan media pada Selasa menjelaskan, pihaknya juga berjaya merampas barangan bernilai RM3,281,014.37 sepanjang operasi berkenaan.

Semasa melakukan pemantauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekatan jalan raya Suba Buan, Bau, Dato’ Dzulkafli memberitahu bagi bulan Januari tahun ini, seramai 71 PATI dan lima tekong telah ditahan dengan nilai rampasan barangan sebanyak RM249,701.

Untuk sekatan jalan raya katanya, seramai 131 anggota Tentera Darat dari pasukan di bawah naungan 1 Divisyen ditugaskan di 16 lokasi seluruh Sarawak iaitu tiga di Kuching, lapan di Sibu, tiga di Miri dan dua di Bintulu.

“Seramai 107 anggota lagi ditugaskan bersama PDRM melaksanakan rondaan berkenderaan MPV di 17 lokasi.

“Seramai 67 anggota terlibat sebagai Tim Pemantauan Pematuhan di 11 lokasi dan yang terbaru kita juga membantu mengawal rumah panjang ketika pelaksanaan pengesanan kes secara aktif (ACD) oleh pihak KKM bermula 21 Januari yang lalu.

“Seramai 111 anggota ditugaskan di 19 buah Rumah Panjang di Sri Aman, Serian, Sebauh dan Bintulu. Jumlah keseluruhan 411 anggota dan 10 pegawai sebagai Liaison Officers,” jelasnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan PKP juga dilaksanakan di pos-pos sempadan seperti di Pos Serikin, Tebedu, Balai Ringin, Lubuk Antu dan Teluk Melano bersama PGA dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, seramai 126 anggota pasukan Rejimen 511 AW dari Kuching akan diaturgerak ke Sibu bagi membantu penguatkuasaan PKP. – EDISI UKAS

Share

add comment