Aktiviti ‘Dry Run’ Penting, Pastikan Penghantaran Vaksin COVID-19 Berjaya

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

KUCHING: Aktiviti ‘Dry Run’ penghantaran vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan (KK) Belaga, Kapit pada 29 Januari lalu sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin sebenar diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan di Pusat-pusat Vaksinasi di seluruh Malaysia.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing dalam kenyataan pada Selasa memberitahu, dry run tersebut diadakan bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°c (±15°c) vaksin keluaran syarikat Pfizer Sdn. Bhd adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar. 

Katanya, vaksin keluaran syarikat Pfizer memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut. 

Selain itu jelasnya, ia bagi membantu KKM dalam membuat penilaian kebolehlaksanaan proses-proses terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 di seluruh Malaysia selain sebagai satu simulasi terhadap Panduan Pengendalian Vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan oleh pihak KKM.

Mengenai ‘dry run’ di KK Belaga, katanya ia merupakan latihan dan juga percubaan menggunakan hanya botol berisi larutan saline (saline-filled bottle) sebelum situasi penerimaan dan penghantaran vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang sebenar.

Malah ujarnya, tiada ujian yang dilakukan ke atas mana-mana individu.

Bagi aktiviti ‘dry run’ pula, Thermal Shipping Container yang digunakan untuk penyimpanan vaksin, serta mengandungi dry ice dan dilengkapi dengan thermal logger telah diterbangkan daripada negara pengeluar Belgium melalui penerbangan komersial ke Subang sebelum diterbangkan ke Kuching dan dihantar melalui jalan darat ke Bintulu dan seterusnya ke KK Belaga.

Katanya, Thermal Shipping Container yang dihantar oleh pihak Pfizer berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara -90°C hingga -60°C sepanjang perjalanan tersebut.

Sehubungan itu, melalui kejayaan pelaksanaan aktiviti dry run ini, KKM jelasnya berharap ianya dapat membantu semua pihak dalam merancang langkah-langkah yang terbaik agar dapat menjamin pembekalan vaksin COVID-19 sebenar nanti secara berkualiti, selamat dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas komen netizen di laman sosial berkaitan aktiviti ‘dry run’ penghantaran vaksin COVID-19 di KK Belaga. – EDISI UKAS

Share

add comment