MBM Diminta Perketatkan SOP Di Tempat Makan Dan Tambah Baik Pelaksanaan SOP Di Kawasan Tumpuan Ramai

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) diminta mengambil langkah memperketatkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan tempat makan dan tumpuan orang ramai. 

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, ini bagi memastikan orang ramai mematuhi garis panduan SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di tempat awam. 

“MBM diminta memperketatkan pematuhan SOP di tempat makan di samping melakukan penambahbaikan ke atas pelaksanaan SOP sedia ada terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti Pasar Besar Miri, Unity Food Centre dan premis makanan di Persiaran Warga Emas Miri. 

“Antara perkara yang boleh dilakukan adalah cara meletakkan garis penjarakkan sosial di meja dan menghadkan bilangan tempat duduk supaya pengunjung waspada mengenai SOP yang ditetapkan. 

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media pada Selasa selepas  mengadakan lawatan dan tinjauan ke beberapa lokasi di Unity Food Centre dan Persiaran Warga Emas, Miri dan meninjau status Projek Menaik Taraf Pasar Besar Miri pada Selasa. 

Dalam pada itu, Datuk Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin meminta orang ramai supaya menggunakan pelitup muka dengan betul kerana masih ramai masyarakat yang mengambil ringan penggunaan pelitup muka dengan betul iaitu dengan tidak menutup hidung. 

Turut hadir Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Ketua Polis Miri, Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan wakil-wakil dari jabatan dan agensi JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment