PKP: 16,000 KIR Di Kapit Dan Song Akan Terima Bantuan Makanan 4 Februari Ini

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengagihkan bantuan makanan kepada kira-kira 16,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kapit dan Song yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, pengedaran bantuan tersebut akan mula dilaksanakan pada Khamis, 4 Februari ini secara berperingkat-peringkat kepada 442 buah rumah panjang.

Katanya, pengagihan itu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan Belaga.

“Jadi untuk meringankan beban masyarakat kita yang terlibat, maka kerajaan negeri akan memberi bantuan dari segi pengagihan makanan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Kuching pada Isnin, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan Sarawak turut memberitahu, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.42 juta bagi menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan Daerah Kapit dan Song.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi jaminan bahawa stok makanan adalah mencukupi.

Beliau turut berkongsi mengenai pengedaran bekalan makanan di Sibu yang mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu telah mengedarkan kepada seramai 36,805 KIR.-EDISI UKAS

Share

add comment