Sistem Perparitan Dan Saliran Air Di Kawasan Banjir Akan Dinaik Taraf – Datuk Naroden

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

GEDONG: Usaha akan dilakukan bagi menaik taraf sistem perparitan dan saliran air di beberapa kawasan yang kerap landa banjir. 

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, langkah ini perlu bagi menjamin air tidak terus bertakung atau berlakunya banjir setiap kali hujan lebat. 

Katanya, parit atau saliran air yang dipenuhi rumput rumpai boleh menyebabkan aliran air ke tempat lain terhalang dan boleh menyumbang kepada berlakunya banjir setiap kali hujan lebat yang berterusan. 

Selain itu, ujarnya lagi, pembinaan pintu air tambahan juga boleh dipertimbangkan jika diperlukan bagi memastikan air bah mengalir keluar ke sungai berhampiran dengan pantas sekiranya berlaku takungan air berikutan hujan lebat. 

“Saya amat simpati terhadap penduduk yang berdepan dengan masalah banjir, namun impak daripada banjir boleh dikurangkan sekiranya sistem perparitan dan saliran air di sesuatu kawasan itu sentiasa diselenggara dan dibersihkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menziarahi tujuh keluarga mangsa banjir di Kampung Lubuk Buntin pada Ahad.

Beberapa kawasan terutama di kawasan rendah Kampung Lubuk Buntin dinaiki air berikutan hujan lebat turun secara berterusan sejak Khamis lalu. 

Berikutan banjir berkenaan beberapa kawasan rendah termasuk tujuh buah rumah di Kampung Lubuk Buntin diacapi air dan keluarga di rumah berkenaan dipindah ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Serbaguna Kampung Lubuk Buntin Jumaat lalu. 

Pada majlis itu, Datuk Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong turut menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir berkenaan dan meluangkan masa hampir dua jam untuk meninjau beberapa lokasi di Kampung Lubuk Buntin yang dikatakan kerap dilanda banjir. 

Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap, Penghulu Musa Fauzi, Naib Ketua PBB Gedong, Ali Bujang, Ketua PBB Zon Pangkor, Kaunselor Izzuddin Abdullah dan Ketua Kaum Aju Pet. -EDISI UKAS

Share

add comment