Tiada Ujian Dilakukan Ke Atas Individu Semasa ‘Dry Run’ Vaksin COVID-19 Ke Klinik Kesihatan Belaga

SELASA, 2 FEBRUARI 2021

KUCHING: Tiada sebarang ujian yang dilakukan ke atas mana-mana individu dalam aktiviti ‘dry run’ atau latihan dan percubaan penghantaran vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan Belaga pada 29 Januari lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, aktiviti ‘dry run’ penghantaran vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan Belaga oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan latihan dan juga percubaan menggunakan hanya botol berisi larutan saline atau ‘saline-filled bottle’ sebelum situasi penerimaan dan penghantaran vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang sebenar.

Menurutnya, bagi aktiviti latihan serta percubaan pula, ‘thermal shipping container’ yang digunakan untuk penyimpanan vaksin serta mengandungi ‘dry ice’ dan dilengkapi dengan ‘thermal logger’ telah diterbangkan daripada negara pengeluar Belgium melalui penerbangan komersil ke Subang sebelum diterbangkan ke Kuching.

“Ia kemudian dihantar melalui jalan darat ke Bintulu dan seterusnya Klinik Kesihatan Belaga. Didapati juga bahawa ‘thermal shipping container’ yang dihantar oleh pihak Pfizer telah berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara -90°C hingga -60°C sepanjang perjalanan tersebut.

“Melalui kejayaan pelaksanaan aktiviti ‘dry run’ ini, KKM berharap ianya dapat membantu semua pihak dalam merancang langkah-langkah yang terbaik agar dapat menjamin pembekalan vaksin COVID-19 sebenar nanti secara berkualiti, selamat dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Chin menjelaskan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengambil maklum kenyataan yang dimuat naik oleh netizen di laman sosial Facebook pada 2 Februari lepas berkaitan aktiviti ‘dry run’ penghantaran vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan Belaga pada 29 Januari lalu.

Jelas beliau, sepertimana yang telah dimaklumkan oleh KKM kepada pihak media sebelum ini, aktiviti ‘dry run’ penghantaran vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer ke Klinik Kesihatan Belaga tersebut merupakan satu aktiviti yang sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin COVID-19 sebenar diterima oleh pihak KKM untuk digunakan di pusat-pusat vaksinasi seluruh Malaysia.

“Seperti yang diketahui umum, vaksin keluaran syarikat Pfizer ini memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut.

“Susulan itu, aktiviti dry run tersebut diadakan adalah semata-mata bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°c (±15°c) vaksin keluaran Pfizer adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar.

“Selain itu, ia juga membantu KKM dalam membuat penilaian kebolehlaksanaan proses-proses terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 di seluruh Malaysia selain sebagai satu simulasi terhadap panduan pengendalian vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan oleh pihak KKM,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS.

Share

add comment