Henti Sebar Video Insiden Di Hospital Miri Di Media Sosial, Ahli Keluarga Alami Tekanan Emosi

RABU, 3 FEBRUARI 2021

MIRI: Satu insiden video yang berlaku di Hospital Miri telah tular di media sosial.

Hospital Miri dalam kenyataan media pada Rabu berkata, insiden tersebut berlaku disebabkan keengganan ahli keluarga tersebut memberi kerjasama dan mematuhi polisi hospital.

Bagaimanapun, katanya insiden itu bukan berlaku di Wad Pesakit COVID-19.

“Setelah sesi kaunseling diberikan, ahli keluarga berkenaan mengaku bahawa beliau mengalami kerisauan terhadap pesakit sehingga menyebabkan tekanan emosi yang tinggi.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta menghentikan penyebaran video tersebut di media sosial bagi melindungi kepentingan pesakit dan keluarga mereka,” katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, Hospital Miri mengambil tindakan yang lebih tegas kebelakangan ini berkenaan polisi penjagaan dan lawatan ke wad.

“Tindakan ini telah menyulitkan sesetengah pesakit dan keluarga mereka untuk saling berhubung antara satu sama lain.

“Insiden itu berlaku akibat daripada keengganan ahli keluarga tersebut untuk memberi kerjasama dan mematuhi polisi hospital.

“Akhirnya insiden itu telah berjaya diselesaikan dengan bantuan daripada pihak polis,” ujarnya.

Video tersebut telah diambil kakitangan hospital dengan tujuan untuk memaklumkan kepada ketua jabatan dan rakan sekerja yang lain bagi
mendapatkan bantuan.

Kaedah rakaman video dibuat memandangkan pemakaian peralatan pelindungan diri (PPE) telah menyukarkan komunikasi di antara kakitangan wad dengan pihak luar. -EDISI UKAS

Share

add comment