Jejantas Pejalan Kaki Bernilai RM5.3 Juta Siap, Kini Mula Dibuka Kepada Orang Awam

RABU, 3 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Sebuah jejantas pejalan kaki yang terletak di Bandar Limbang telah siap dan dibuka kepada orang awam pada Selasa. 

Jejantas Pejalan Kaki ini melintasi tiga batang jalan utama di bandar Limbang iaitu Jalan Buangsiol, Jalan Bangkita dan Jalan Wong Tsap En.

Majlis penyerahan Sijil Siap Bina telah disampaikan Majlis Daerah Limbang (MDL) kepada kontraktor dan disaksikan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dalam satu yang diadakan di atas jejantas pada Selasa. 

Turut diadakan pemasangan lampu berwarna-warni bagi menambahkan lagi keindahan jejantas pejalan kaki sebagai mercu tanda baharu Daerah Limbang.

Dalam taklimat ringkas, Walikota MDL Kaunselor Sufian Mohat memaklumkan peruntukkan asal pembinaan jejantas ini berjumlah RM3.5 juta dan ditambah RM 1 juta bagi mengubah struktur dan reka bentuk jejantas serta tambahan kali ketiga sejumlah RM800,000 menjadikan jumlah keseluruhan pembinaan Jejantas Pejalan Kaki berjumlah RM5.3 juta.

Bagaimanapun, ketika ini laluan jejantas ke Hotel Purnama terpaksa ditutup bagi kerja-kerja pengemaskinian bangunan Hotel Purnama tersebut.

Mengenai nama jejantas pejalan kaki itu, Jawatankuasa Pembangunan Majlis Daerah Limbang akan memaklumkan kepada Datuk Dr Abdul Rahman untuk dipersembahkan dan dipilih oleh Ketua Menteri Sarawak.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Kontraktor Pembinaan Jejantas Pejalan Kaki Dato Wong King Hoong. -EDISI UKAS

Share

add comment