Kerajaan Sarawak Suntik RM141.7 Juta Bantu Lebih 10,000 Usahawan PKS Sarawak

RABU, 3 FEBRUARI 2021

KUCHING: Lebih 10,000 usahawan kecil dan sederhana di Sarawak bakal menerima manfaat dari tujuh inisiatif tambahan dalam bentuk kewangan yang disediakan dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sebanyak RM141.7 juta telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak melalui tujuh inisiatif tersebut.

Bercakap dalam sidang media di Kuching pada Rabu, beliau berkata BKSS 5.0 yang diumumkan oleh Ketua Menteri pada 21 Januari lalu bertujuan membantu perusahaan kecil dan dan Sederhana (PKS) di negeri ini dalam menghadapi kesukaran dan cabaran kesan daripada pandemik COVID-19.

“Inisiatif-inisiatif tambahan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan yang melibatkan kos sebanyak RM141.7 juta melalui program-program berikut iaitu Tambahan RM50 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Tambahan RM20 juta di bawah SKim Pinjaman PKS (SPIKS), menyediakan RM22.2 juta subsidi faedah bagi Targeted Relief and Recovery Faciliti (TRRF), menyediakan RM2.5 juta subsidi faedah bagi PENJANA Tourism Financing (PTF), tambahan RM20 di bawah Program Graduan Ke Aarah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vikasional (USTEV), menyedia RM20 juta di bawah Program Go Digital Sarawak dan menyediakan RM2 juta di bawah Program Latihan Digital Marketing,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan, memberitahu kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi membantu usahawan meningkatkan produktiviti dan mengembangkan pasaran menggunakan platform digital.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri jelasnya telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan Program Go Digital Sarawak dan RM2 juta untuk Program Latihan Digital Marketing.

“Program Go Digital Sarawak dan Program Latihan Digital Marketing adalah program baru untuk membantu usahawan kita dalam meningkatkan produktiviti dan mengembangkan pasaran melalui digital platform,”katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment