Naik Taraf Stesen Penternakan Kerbau Meragang Lawas Mampu Tingkatkan Populasi Kerbau Di Bahagian Limbang

SELASA, 3 FABRUARI 2021

LAWAS: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) akan menaik taraf sistem Stesen Penternakan Kerbau Meragang, Lawas. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ianya bertujuan membiakkan kerbau-kerbau untuk diberikan kepada petani dan penternak melalui Skim Pawah.

Katanya, pada ketika ini kebanyakan kerbau yang berikan kepada petani  dan penternak diimport dari negara luar.  

“Sebab itulah, Kerajaan Sarawak melalui dana Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) berjumlah RM9 juta telah pun diperuntukan untuk menaik taraf stesen ini (Stesen Penternakan Kerbau Meragang) yang mana kita merancang untuk menswastakan sebahagian daripadanya khususnya bahagian pembiakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penternakan Kerbau Meragang Lawas pada Selasa. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah menerusi naik taraf sistem Kerbau Meragang ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan, dan melatih petani dan penternak dalam mengembangkan lagi penternakan kerbau di sini. 

“DVS akan menumpukan kepada aspek penyelikan dan pembangunan (R&D) dan juga untuk melatih penternak-penternak kita. 

“Dan, sebuah syarikat yang terpilih nanti akan menjalankan operasi bahagian pembiakan ini yang sasarannya sekurang-kurangnya setahun 250 ekor kerbau untuk membantu hasrat Kerajaan Sarawak menambah populasi kerbau di Sarawak.

“Pada masa ini jumlah kerbau di negeri ini berjumlah sekitar 6,000 ekor  dan akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 11,000 ekor pada tahun 2030,” tambahnya. 

Penglibatan di dalam penternakan kerbau ini memberi hasil pulang yang lumayan dan baik disebabkan permintaan daging kerbau begitu tinggi sekali terutama di negara jiran dengan harga seekor kerbau dalam lingkungan RM 6,000 ke RM7,000 seekor.

Dalam pada itu, ada syarikat swasta yang berhasrat menghasilkan keju berasaskan susu kerbau dengan harga lebih mahal dan bermutu tinggi untuk dieksport luar negara seperti Itali.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan) Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak Dr. William Robin Nating, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japarudin Ali. -EDISI UKAS

Share

add comment