Perketat Sekatan Jalan Di Sempadan Negeri, Kekang Kemasukan PATI

RABU, 3 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meningkatkan kawalan keselamatan sempadan dengan menyelaras sekatan jalan raya bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing memberitahu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurutnya, sekatan jalan raya itu akan melibatkan di kawasan sempadan di Lundu, Serian, Bau, Biawak, Balai Ringin dan Lubok Antu.

“Keutamaan sekarang adalah bukan hanya untuk memastikan rondaan dan pemantauan di sepanjang jalan ‘tikus’ atau jalan ‘gajah’, tetapi juga menangkap ‘tekong’ yang bertanggungjawab membawa PATI ke Sarawak.

“Jika ‘tekong’, majikan atau PATI yang didapati bersalah akan dikenakan denda dan hukuman yang berat,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak di pejabatnya pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak (JKSS) memberitahu, isu melibatkan keselamatan sempadan negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, JKSS akan mencari mekanisme terbaik bagi membolehkan pekerja asing masuk dan bekerja secara sah di negeri ini.

“JKSS akan meneliti dan merangka dasar yang lebih tersusun supaya pekerja asing dapat dibenarkan masuk ke Sarawak secara sah dan tersusun dan harus diakui, industri di Sarawak amat memerlukan perkhidmatan mereka,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS

Share

add comment