RABU, 3 FEBRUARI 2021
SERIAN: Penduduk Kampung Krian bakal memiliki kemudahan balai raya yang baharu apabila projek menaik taraf bangunan tersebut dijangka siap pada Julai tahun ini.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2020 dengan nilai sebanyak RM100,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menambah, projek yang mula pada Januari lepas dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.
“Saya berharap, projek naik taraf balai raya kampung ini berjalan lancar dan pihak kontraktor perlu melaksanakan projek ini dengan jayanya,” katanya semasa Majlis Serah Tapak Projek Menaik Taraf Balai Raya Kampung Krian, Padawan pada Rabu.
Dalam majlis sama, beliau juga telah menyampaikan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada Ketua Kampung Krian yang mewakili para penerima KGC.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, beliau juga telah melakukan penyerahan projek pemasangan jubin lantai di Balai Raya Kampung Mundai.
Jelasnya, projek RTP sebanyak RM50,000 itu dijangka siap pada Mei tahun ini.
Hadir sama dalam program berkenaan adalah Residen Bahagian Serian, Tuah Suni. -EDISI UKAS