Sebanyak 229 Rumah Dibaik Pulih Menerusi PPRMS Di Sadong Jaya

RABU, 3 FEBRUARI 2021

SADONG JAYA: Sebanyak 229 buah rumah akan dibaik pulih di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong yang meliputi Kampung Semera hingga ke Kampung Bilis pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa meletakkan keutamaan kepada golongan kurang mampu untuk memiliki kediaman yang selesa.

Jelasnya, beliau berharap pihak kontraktor yang melaksanakan projek tersebut dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian semasa Program Pengagihan Baik Pulih PPRMS Fasa 1, 2021 di Rumah Komuniti Sadong Jaya pada Selasa.

Tambah beliau, projek PPRMS itu merupakan pembangunan fasa 1 bagi kawasan tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment