274 Buah Projek RTP DUN Kini Telah Dan Sedang Dilaksanakan Di DUN Pantai Damai

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, sebanyak 274 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai telah dan sedang dilaksanakan. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kesemua projek ini merangkumi pelbagai bentuk dan jenis kemudahan yang diperlukan masyarakat seperti kemudahan sukan, dewan masyarakat, jalan raya, sistem perparitan serta rumah ibadat seperti surau, chapel dan pusat ekonomi wanita, jeti, pangkalan pontun dan sebagainya.

“Sehingga kini, sejak tahun 2015 hingga 2018 sebanyak 170 projek RTP  telah pun siap sepenuhnya.

“Manakala, sebanyak 29 projek RTP masih lagi dalam pembinaan di 43 buah kampung dan taman perumahan yang ada di kawasan DUN Pantai Damai,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melawat Bina Baru Projek Padang Futsal Kampung Sungai Batu dan Projek Naik Taraf Padang Futsal Kampung Buntal pada Rabu.

Kesempatan itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan yang membantu memastikan Projek RTP di DUN Pantai Damai ini berjalan dengan lancar. -EDISI UKAS

Share

add comment