Atasi Jenayah Seksual, Didik Kanak-Kanak Dengan Kefahaman Sesuai

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kes rogol remaja bawah umur bukanlah perkara asing kini, walaupun penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan.

Untuk itu, kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan perlu dilengkapkan dengan kefahaman terhadap pendidikan seks dan agama yang sesuai dengan umur mereka.

Demikian menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Seri Fatimah Abdullah dalam satu kenyataannya, sebagai maklum balas berhubung kes jenayah sumbang mahram yang disiarkan di akhbar Borneo Post pada Rabu, 3 Februari 2021.

Katanya, kejadian yang berlaku pada tahun 2018 membabitkan seorang bekas tukang masak yang dijatuhkan hukuman 17 tahun penjara beserta 10 sebatan kerana merogol anak tirinya yang berumur 10 tahun itu, disifatkan satu tindakan yang kejam dan mengecewakan.

Tambah Dato Sri Fatimah, walaupun pelbagai pendekatan yang komprehensif dan holistik telah dijalankan oleh  kementeriannya, namun penekanan penting yang perlu dipertingkatkan bagi mengatasi masalah sedemikian adalah bermula dari rumah.

Jelasnya, peranan ibu bapa diperlukan untuk lebih proaktif serta peka terhadap masalah seksualiti di kalangan anak-anak, dengan bersikap terbuka dan mudah didekati disamping sentiasa berkomunikasi.

Sekiranya anak-anak mempunyai pengetahuan dan ilmu yang jelas, mereka akan lebih selesa dan berani menyuarakan masalah atau ketidakpuasan hati sekiranya terhimpit dalam situasi yang menjurus kepada isu-isu yang berkaitan dengan jenayah seksual, kehamilan luar nikah serta pembuangan bayi.

Menjelas lanjut, Dato Sri Fatimah memberitahu,  sistem sokongan yang dilaksanakan oleh kementeriannya semenjak tahun 2014 sehingga kini adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Kehamilan Remaja Sehenti (OSTPC), mengadakan pelbagai program dan aktiviti kesedaran termasuk dialog pembangunan sosial.

Daripada usaha itu, jumlah keseluruhan kes di Sarawak sehingga hari ini menunjukkan penurunan. -EDISI UKAS

Share

add comment