Kerajaan Sarawak Bersetuju Tambah Aset Bantu Petugas Barisan Hadapan Tangani COVID-19

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

MIRI: Penularan wabak pandemik COVID-19 kini telah menular di kawasan rumah panjang dan luar bandar di Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengambil tindakan dengan mengasingkan masyarakat menerusi Perintah Kawalan Bersasar atau ‘lockdown’ yang bertujuan menyekat penularan wabak pandemik COVID-19.

“Sekarang, COVID-19 ini sedang menular di dalam masyarakat terutama di kawasan rumah panjang dan pedalaman. 

“Oleh itu, kami telah mengambil tindakan penting dengan mengasingkan masyarakat di kawasan-kawasan rumah panjang sebagai usaha untuk menghentikan penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Orang ramai turut digesa untuk memberikan bekerjasama dengan mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan dan barisan hadapan dalam pastikan keselamatan sentiasa dijaga,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mendengar Taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dan beberapa agensi berhubung dengan tindakan yang telah diambil dalam menghadapi COVID-19 di Bahagian Miri pada Khamis. 

Pada majlis itu, Ketua Menteri telah menyerahkan cek berjumlah RM756,620 untuk naik taraf Masjid Darul Ehsan.

Datuk Patinggi Abang Zohari turut menambah Kerajaan Sarawak juga akan berusaha membantu masyarakat yang terkesan dengan tindakan penularan wabak pandemik COVID-19 menerusi agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Saya meminta penduduk di rumah panjang termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk mematuhi SOP selama empat belas hari  seperti yang dimaklumkan sebelum ini. 

“Kerajaan Sarawak juga akan memberi bantuan kepada mereka melalui JKM dengan apa sahaja keperluan yang diperlukan,” tambahnya. 

Ujar Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, Kerajaan Sarawak juga bersetuju membantu penambahan asset kepada pasukan petugas keselamatan dalam menangani masalah penularan wabak COVID-19 ini. 

“Dari sudut penguatkuasaan, pihak keselamatan telah meminta kita membantu dari sudut penambahan asset. 

“Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membeli asset termasuk dron dan juga kenderaan supaya mereka dapat berhubung dengan cepat mengenai masalah-masalah yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

Kesempatan itu, Ketua Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang telah melaksanakan kerja dan tugasan dengan baik serta masyarakat yang sama-sama memberikan kerjasama kepada JPBB Miri dalam membanteras penularan COVID-19. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin. -EDISI UKAS

Share

add comment