Pejabat Residen Bahagian Sibu Sangkal Laporan Ribuan Penduduk Bakal Kelaparan

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

SIBU: Pejabat Residen Bahagian Sibu menafikan laporan dalam sebuah portal berita bahawa ribuan penduduk di Sibu bakal kelaparan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw menegaskan tiada penduduk di Sibu kelaparan sambil menjelaskan artikel berjudul ‘Thousands On Brink Of Starvation in Sibu’ yang bertarikh 3 Februari sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Portal berita itu menyatakan lebih 1,000 orang di Sibu sangat memerlukan bantuan makanan setelah kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka selepas penutupan sektor pekerjaan mereka sejak PKP dikuatkuasa 16 Januari lepas.

Ia memetik Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Chambai Lindong sebagai mengatakan bahawa mereka yang terjejas berasal dari kawasan luar bandar yang bekerja sebagai buruh, tukang masak, pembantu di kedai kopi, restoran dan bistro, pembantu di salun dandanan rambut, juruelektrik, pemandu lori dan pembantu, pembantu kedai, pengawal keselamatan dan pembantu kedai.

Menjelas perkara itu, Charles berkata portal tersebut silap menafsir pernyataan Chambai dalam kenyataannya pada 3 Februari dengan mendakwa beliau menyebut ribuan penduduk di Sibu akan kelaparan.

Sebaliknya jelas Charles, Presiden SDNU itu tidak ada menyebut tentang kelaparan dalam kenyataan tersebut.

Katanya, Pejabat Residen Bahagian Sibu perlu memeriksa senarai nama penerima bantuan yang dikemukakan oleh SDNU untuk memastikan tiada pertindihan nama.

Selain itu, ia bagi memastikan penerima bukan dari kalangan ahli keluarga sama kerana setiap keluarga hanya berhak menerima satu bakul makanan.

Menurut Charles lagi, senarai awal nama yang dikemukakan SDNU adalah seramai 1,350 orang di mana 710 daripadanya telahpun menerima bantuan.

“Senarai nama tersebut dikemukakan tiga kali dengan senarai pertama seramai 1,211 orang, kedua 84 orang dan yang terakhir dihantar pada Rabu (3 Februari) seramai 55 orang.

“Penerima telah dihubungi melalui telefon untuk menuntut bantuan di pusat agihan. Ada yang tidak datang menuntut bantuan tersebut sekali gus membuktikan tiada penduduk yang kelaparan,” katanya.

Tambah Charles, Pejabat Residen Bahagian Sibu merakamkan penghargaan kepada SDNU sebagai rakan strategik atas bantuan dihulurkan kepada mereka.

Malah sejak PKP yang pertama, SDNU katanya telah banyak membantu bukan sahaja dalam mengumpul senarai nama penerima malah mengagihkan bantuan makanan.

Beliau juga berharap SDNU akan terus membantu mereka mengagihkan bantuan kepada baki penerima untuk memendekkan masa menunggu. – EDISI UKAS

Share

add comment