Pembangunan Pertanian Di Kawasan Trusan Terus Dipergiatkan

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

LAWAS: Sebanyak RM825,323 telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak khusus untuk pembangunan pertanian di kawasan Trusan pada tahun 2020. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, peruntukkan ini telah memberi manfaat kepada lebih kurang 700 petani di kawasan tersebut. 

“Majoriti petani di kawasan Trusan ini mengusahakan tanaman padi, diikuti durian dan jagung. 

“Selain itu turut diusahakan tanaman seperti tanaman kontan, sayuran, fertigasi, buah-buahan terpilih, kelapa sawit dan lada,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Pertanian Long Tuan, Trusan pada Selasa. 

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu seramai 32 peserta di kawasan Trusan terlibat dalam projek tanaman beberapa jenis sayur-sayuran dan buah-buah di tanah seluas 10.6 hektar.

“Antara tanaman yang menjadi pilihan petani di sini ialah sayur-sayuran dan buah buahan terpilih seperti limau, durian Musang King dan durian variasi tempatan. 

“Di sini, durian Musang King dan durian variasi tempatan juga ditanam dengan keluasan 2.00 hektar dan 1.00 hektar variasi tempatan,” ujarnya. 

Sementara itu, seramai 45 orang petani dari kawasan Long Tuan dan Long Sebulu telah terlibat dalam mengusahakan padi Adan termasuk juga padi varieti tempatan meliputi 16.7 hektar. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japarudin Ali. -EDISI UKAS

Share

add comment