Projek Pembinaan Padang Futsal Kampung Sungai Batu Dan Naik Taraf Padang Futsal Kampung Buntal Berjalan Lancar

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

KUCHING: Projek Pembinaan Padang Futsal Kampung Sungai Batu yang dilaksanakan ini telah menjangkau 80 peratus siap dan dijangka akan dapat digunakan dalam tempoh sebulan akan datang. 

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, sehingga kini projek ini telah berjalan lancar dan dilaksanakan dengan sempurna. 

“Pada hari ini (Rabu) kita melihat projek ini telah pun menjangkau hampir 75 hingga 80 peratus. 

“Hanya menunggu dataran ini siap dan seterusnya dicat. 

“Insha Allah akan dapat digunakan dalam tempoh sebulan akan datang seandainya keadaan mengizinkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melawat Bina Baru Projek Padang Futsal Kampung Sungai Batu dan Projek Naik Taraf Padang Futsal Kampung Buntal pada Rabu. 

Ujarnya lagi, dengan pertambahan dua padang futsal ini menjadikan sebanyak 16 gelanggang futsal keseluruhannya di DUN Pantai Damai untuk manfaat masyarakat terutama golongan belia.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menambah kos pembinaan Padang Futsal Kampung Sungai Batu ini bernilai RM150,000 dengan struktur pembinaan yang berbeza daripada sebelumnya. 

“Saya dimaklumkan oleh JKR mulai tahun 2021 ini jaring atau pagar di sekeliling padang futsal ini akan menggunakan pagar yang lebih tahan dan dilengkapi dengan lampu limpah atau ‘LED Lighting Sportlight’ yang lebih terang yang digunakan untuk bermain pada waktu siang dan malam,” tambahnya. 

Ujarnya lagi, Projek Naik Taraf Padang Futsal Kampung Buntal pula mleibatkan kos sebanyak RM100,000. 

“Untuk baik pulih gelanggang futsal di Kampung Buntal sebanyak RM100,000 bagi mengganti pagar yang ada dan membina tembok di sekelilingnya,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment