Rimbunan Kasih Perluaskan Projek Tanaman Sayur Dan Buah Bermutu Tinggi

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dengan kerjasama syarikat swasta telah membangunkan semula operasi Rimbunan Kasih yang tergendala sebelum ini. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, selepas pertukaran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, projek Rimbunan Kasih ini telah dibatalkan dan diambil alih Kerajaan Sarawak. 

“Rimbunan Kasih ini antara tujuannya adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain menambahkan lagi kepelbagaian pengeluaran pertanian. 


“Setelah tergendala hampir setahun lebih, ia beroperasi semula dengan memfokuskan kepada tanaman ‘Rock Melon’, labu, asparagus, terung asam dan beberapa lagi tanaman serta pembiakan benih ikan tilapia.

“LCDA dan syarikat swasta mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi projek ini dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada 100 orang pekerja serta penyediaan tempat tinggal dengan konsep sewa beli,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Rimbunan Kasih Sundar pada Rabu.

Ujar Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota, ketika ini permintaan ’Rock Melon’ untuk tujuan eksport di Jepun dan Singapura sangat tinggi manakala, pengeluarannya adalah terhad. 

Kita kena tambah kuantiti dan mengekalkan kualiti produk ini. Untuk mencapai sasaran, masyarakat sekitar juga boleh menjadi pembekal kepada syarikat ini. 

Pada masa ini pengeluarannya hanya sekitar 8 tan sebulan dan ini masih belum mencukupi dan diperlukan kira-kira 20 tan untuk syarat eksport ke luar negara. 

Malah, China mahu mengimport 40 kontena sebulan dan pengeluaran pada masa sekarang masih jauh dan tidak mencukupi. Ini adalah satu peluang yang baik untuk diperluaskan lagi projek pengeluaran ‘Rock Melon,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japarudin Ali. -EDISI UKAS

Share

add comment