Sambut Perayaan Tahun Baharu Cina Di Kawasan Daerah Masing-Masing

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2021

KUCHING: Masyarakat yang tinggal di kawasan zon bebas COVID-19 atau berstatus Hijau dinasihatkan tidak pergi ke kawasan Zon Merah, Jingga dan Kuning semasa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina akan datang ini. 

Demikian juga bagi mereka yang tinggal di kawasan Zon Merah, Jingga dan Kuning untuk tidak pergi ke kawasan Zon Hijau. 

Gesaan ini disuarakan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing menerusi perutusan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sempena Tahun Baru Cina 2021, pada Khamis. 

“Tindakan ini amat penting bagi mengelakkan anda membawa virus COVID-19 balik ke rumah anda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada berjumpa dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang berisiko tionggi untuk mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti virus COVID-19, seperti warga emas berumur 60 tahun ke atas, mereka yang obes atau menghidap penyakit kronik.

Katanya, sekiranya ingin menganjurkan perjumpaan keluarga, pastikan saiz perhimpunan ahli keluarga adalah sekecil yang mungkin. 

“Elakkan berkumpul dengan ahli keluarga atau rakan yang bukan dari kalangan isi rumah anda selain itu elakkan juga berkunjung dari rumah ke rumah.

“Bagi perhimpunan keluarga, sebaliknya anjurkan aktiviti tersebut di ruang bersesuaian di luar rumah yang lebih luas dan tidak sesak. 

“Jika tidak dapat berbuat demikian, pastikan pengudaraan dalam rumah anda adalah baik dengan membuka tingkap dan pintu,” tegasnya.

Beliau juga turut menasihati orang ramai, jika perlu berjumpa dengan ahli keluarga yang bukan dari kalangan isi rumah, dinasihatkan berjumpa dengan mereka di ruang luar rumah sambil memakai pelitup muka dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter.

Eakkan juga makan atau minum bersama-sama melebihi tempoh 15 minit dan jangan sesekali berkongsi makanan atau perkakas makanan serta kekalkan jarak fizikal pada setiap masa.

“Jika anda berasa kurang sihat walaupun hanya mengalami gejala ringan, sila asingkan diri anda dari orang lain dan berjumpalah doktor dengan segera dan dapatkan ujian COVID-19 secepat yang mungkin,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment