15 Orang Gelandangan Berjaya Diselamatkan Dalam Operasi Bersepadu Di Sekitar Bandaraya Miri

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

MIRI: Seramai 15 orang gelandangan yang terdiri daripada 14 orang lelaki termasuk seorang warga emas dan seorang wanita dalam satu Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan di sekitar Bandaraya Miri pada Khamis. 

Operasi ini yang merupakan anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Miri itu bertujuan menyelamatkan gelandangan yang berkeliaran pada ketika ini dalam usaha membanteras penularan wabak pandemik COVID-19 di Bahagian Miri. 

Operasi yang disertai kira-kira 40 orang pegawai yang terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Miri, Pejabat Imigresen Miri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, Jabatan Kesihatan Bahagian Miri dan Pejabat Residen Bahagian Miri itu telah dimulakan seawal jam 9.00 malam dan berakhir pada 2.30 pagi. 

Terdahulu, agensi-agensi kerajaan yang terlibat mula berkumpul di Kompleks Islam Sarawak pada jam 7.30 petang bagi mendengar taklimat awal.

Hasil operasi itu, kesemua 15 gelandangan yang diselamatkan itu telah dihantar ke Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) sebelum tindakan susulan diambil. 

Ini bagi membolehkan mereka ini disaring untuk memastikan mereka benar-benar bebas dari COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment