72 Individu Jadi Mangsa Sendiket Penipuan Dalam Talian Babitkan Kerugian Hampir RM1 Juta

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

KUCHING: Seramai 72 individu di Sarawak menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah hampir RM1 juta pada bulan lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid, berkata penipuan dalam talian itu membabitkan penyamaran melalui telefon dan pinjaman wang yang tidak  pernah wujud.

Katanya, ketiga-tiga jenis penipuan itu menunjukkan peningkatan pada bulan pertama tahun ini.

“Bagi penyamaran melalui telefon untuk tempoh 1 hingga 31 Januari 2021, sebanyak 24 kes penipuan telah dilaporkan membabitkan kerugian melebihi RM252,000.

“Mangsa kes penipuan penyamaran melalui telefon itu berusia di antara 19 hingga 72 tahun dengan sebahagian besar adalah penganggur, bekerja sendiri dan suri rumah yang semuanya berjumlah 15 kes, lapan kes membabitkan pekerja swasta dan seorang penjawat awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Maria turut berkata, penipuan menerusi telefon pula dilaporkan sebanyak 10 kes dalam tempoh sebulan lalu membabitkan kerugian lebih RM132,000.

“Mangsa pula berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun membabitkan empat pekerja swasta, empat kakitangan awam dan dua peniaga,” katanya.

Bagi kes pinjaman tidak wujud pula, Maria menambah sebanyak 38 kes telah dilaporkan bagi tempoh 1 hingga 31 Januari 2021.

“Ia menyebabkan kerugian lebih RM536,000 dengan mangsa berusia antara 18 hingga 69 tahun.

“Kategori pekerjaan mangsa kes pinjaman tidak wujud pula adalah terdiri daripada empat orang penjawat awam, 19 orang pekerja swasta dan 15 orang lagi adalah mereka yang bekerja sendiri, pesara, suri rumah, pelajar dan penganggur,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment