Jambatan Baharu Akan Dibina Ganti Jambatan Besi Rumah Raymund Yang Dihanyutkan Arus Deras

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

MURUM: Sebuah jambatan akan dibina bagi menggantikan jambatan besi Rumah Raymund Pahang di Long Tirat, Tubau yang telah dihanyutkan arus deras pada malam Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek jambatan kira-kira sepanjang 30 meter itu dicadangkan sebagai perancangan jangka masa panjang dalam menyelesaikan masalah penduduk rumah panjang tersebut.

Manakala untuk tindakan segera, beliau telah mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina laluan sementara bagi kegunaan penduduk Rumah Raymund.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan pihak JKR telah meninjau tempat kejadian, pada Khamis.

Menurut penduduk kampung, kejadian itu berlaku sekitar 9 malam susulan hujan lebat sebelum arus deras menghanyutkan jambatan tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment