Mangsa Banjir Bukit Engkerbai, Lubuk Bemban Rayu Bantuan Makanan

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

MUKAH: Banjir yang kembali melanda kawasan Bukit Engkerbai dan Lubuk Bemban menyebabkan 13 buah rumah panjang dan dua buah sekolah, SK Lubok Bemban dan SK Inkerbai terputus hubungan.

Menurut Tuai Rumah Anderson Kalong, banjir kali kedua itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan makanan kerana tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat membantu menyalurkan makanan kepada mereka sehingga banjir kembali pulih.

Semasa ditemui krew UKAS yang membuat tinjauan banjir di kawasan itu pada Jumaat, Anderson berkata pihaknya sukar untuk menjangka bila banjir yang bermula sejak semalam itu akan surut sepenuhnya agar mereka dapat membeli makanan dan keperluan harian.

Ketinggian air semasa pemantauan pada paras 0.7 meter dan dijangka akan terus naik disebabkan hujan dan air pasang.

Banjir turut menyukarkan penduduk di kawasan tersebut yang kebanyakannya petani mengusahakan ladang sawit dan getah mereka. – EDISI UKAS

Share

add comment