Masyarakat Di Daerah Pakan Patuhi SOP PKPB, Elak Penularan COVID-19

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

PAKAN: Sejak beberapa bahagian dan daerah di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali Bahagian Sibu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk di negeri ini mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

Menurut wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Joshua Gundi yang meninjau garis panduan SOP PKPB di Daerah Pakan memaklumkan masyarakat di kawasan itu sangat mematuhi arahan yang dikeluarkan penguatkuasa dan barisan hadapan. 

“Hasil tinjauan semasa setakat ini di Daerah Pakan, masyarakatnya amat mematuhi SOP PKPB yang dikuatkuasakan pada ketika ini. 

“Mereka yang keluar rumah membeli barangan keperluan hanya terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja. 

“Selain itu, mereka turut memakai pelitup muka dan tidak bersesak-sesak di kawasan sempit dengan mengamalkan penjarakkan fizikal dan kerap membasuh tangan dengan menggunakan pembersih tangan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan tinjauan keadaan PKPB di Pasar Pakan bersama dengan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada Jumaat. 

Mengulas lanjut, beliau turut bersetuju dengan saranan yang dibuat Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg supaya komuniti di rumah panjang mengambil berat dalam soal keselamatan COVID-19 ini yang menular di penempatan rumah-rumah panjang di negeri ini. 

“Ketika ini wabak pandemik COVID-19 telah menular di dalam komuniti rumah panjang dan mengakibatkan banyak rumah panjang yang terpaksa dikenakan ‘lockdown’ bagi menyekat penularannya. 

“Untuk itu, setiap masyarakat di rumah panjang termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) seperti tuai-tuai rumah panjang mengambil berat dalam soal keselamatan khususnya wabak COVID-19 supaya tidak menular ke rumah panjang di Daerah Pakan ini,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment