Perketatkan SOP, Pastikan Garis Panduan Dipatuhi Di Kawasan Rumah Panjang Masing-Masing

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

MIRI: Setiap Tuai Rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir diperingatkan supaya mengetatkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan rumah panjang masing-masing. 

Penghulu Randi Elon berkata, ini susulan daripada peningkatan penularan kes COVID-19 yang berlaku baru-baru ini.

“Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang digesa mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan penduduk agar mereka bebas dari penularan wabak yang berbahaya ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan tinjauan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di DUN Lambir pada Jumaat.

Penghulu Randi turut juga mengingatkan semua penduduk rumah panjang di kawasan DUN Lambir supaya jangan selalu turun ke bandar jika tiada urusan lain dan sebaliknya. 

“Bagi penduduk rumah panjang yang tinggal di luar kampung khususnya di kawasan bandar supaya tidak balik ke rumah panjang sekiranya tanpa urusan penting. 

“Walaupun sehingga kini tiada kes COVID-19 yang berlaku di kawasan ini, tetapi penduduk diminta untuk mengikut semua garis panduan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti sukat suhu badan, amalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, kerap membasuh tangan menggunakan pembasuh tangan, memakai pelitup muka dan tulis nama atau menggunakan aplikasi MySejahtera bagi rumah-rumah panjang yang ada talian internet,” ujarnya. 

Dalam pada itu, telah kelihatan beberapa rumah panjang seperti JKKK Kampung Bukit Kabaloi, JKKK Ssungai Ukong, Lambir Miri dan JKKK Rumah Panjang Sungai Setulai telah menaikkan banner dan kain rentang larangan orang luar masuk ke kawasan rumah panjang mereka. -EDISI UKAS

Share

add comment