Petugas Barisan Hadapan Terima Vaksin COVID-19 Hujung Februari Ini

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021

KUCHING: Petugas barisan hadapan di Sarawak akan mula menerima vaksin COVID-19 pada penghujung Februari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata, ianya akan dilakukan sejurus Program Imunisasi COVID-19 di negeri ini bermula. 

Mengulas mengenai program ujian klinikal vaksin COVID-19, Dr Zin Hing turut mendedahkan seramai 23 sukarelawan memberi persetujuan untuk menjalankan ujian klinikal itu setakat ini.

“Dua daripada mereka menerima suntikan semalam dan proses ini masih berterusan.

“Mereka yang berdaftar akan dihubungi dan selepas bersetuju, mereka akan diberi tempoh tertentu untuk hadir diberi suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian COVID-19 di Bangunan DUN Lama di sini, pada Khamis. 

Tambah Dr Zin Hing lagi, sejurus mendapat suntikan, sukarelawan itu perlu membuat pemeriksaan susulan dan dipantau selama 13 bulan.

Ujarnya, tidak semua sukarelawan yang menjalani ujian klinikal vaksin COVID-19 akan diberi suntikan vaksin itu.

“Sebanyak 50 peratus akan menerima suntikan vaksin manakala 50 peratus lagi akan menerima suntikan placebo.

“Kita hendak melihat kesan sampingan daripada pemberian suntikan vaksin kepada imunisasi tubuh badan sukarelawan,” jelasnya lagi.

Dr Zin Hing juga memberitahu, sebanyak sembilan pusat di seluruh negara akan menjadi pusat menjalani ujian klinikal. -EDISI UKAS

Share

add comment