JUMAAT, 5 FEBRUARI 2021
SIMUNJAN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut turun padang bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Simunjan pada Jumaat.
Bantuan berbentuk makanan kering dan kit kebersihan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang turut berkesempatan datang melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan.
Turut hadir semasa penyerahan bantuan tersebut ialah Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat.
Secara keseluruhan, terdapat seramai 94 orang mangsa banjir yang terdiri daripada 35 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan sejak Khamis lepas.
Semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Mesra Simunjan adalah dari Kampung Simunjan Jaya, Kampung Sabun, Kampung Kelka, Kampung Hijrah dan Kampung Nanas. -EDISI UKAS