1,070 Mangsa Banjir Masih Ditempatkan Di PPS Di Seluruh Sarawak

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sehingga jam 8.00 pagi ini, menyaksikan sejumlah 1,070 mangsa banjir telah di tempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebanyak 18 PPS masih beroperasi di negeri ini.

Daripada jumlah itu, satu PPS dibuka di Daerah Tatau, empat di Daerah Simunjan, dua di Daerah Samarahan dan 11 di Daerah Serian.

Seperti sebelumnya, Daerah Serian kekal menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 785 mangsa daripada 255 keluarga dari kawasan itu direkodkan setakat ini.

Ini diikuti Daerah Simunjan dengan 232 mangsa daripada 77 buah keluarga, Daerah Samarahan 45 mangsa dari 11 keluarga dan 8 mangsa dari 2 buah keluarga di Daerah Tatau.

Keadaan hujan lebat yang tidak menentu sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan situasi banjir di Sarawak masih berlanjutan sehingga kini. -EDISI UKAS

Share

add comment