ADUN Kuala Rajang Hadiah Dua Projek RTP Kepada Warga Kampung Sebayang dan Rumah Bangga

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

TANJUNG MANIS: Penduduk di Kampung Sebayang tidak lagi sukar untuk membawa hasil tani dan produk mereka ke pasar selepas ini dengan siapnya kerja-kerja melebar dan menurap Jalan Tusok/Sebayang sepanjang 700 meter sedikit masa lagi.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh beliau mahu melihat penduduk di Sebayang menikmati pembangunan seperti di kawasan lain.

Penyerahan dokumen projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM580,000 itu disempurnakan oleh Jurutera Bahagian Mukah, Awang Desuki kepada Maswin Enterprise dan turut disaksikan pegawai khas Datu Len, Baijuri Jauji di tapak projek pada Sabtu.

Sementara itu, turut diadakan penyerahan dokumen kontrak projek RTP bernilai RM100,000 kepada Syarikat Raffii 77 bagi membina baru jeti Rumah Bangga, Tusok.

Ia satu lagi inisiatif Datu Len yang juga ADUN Kuala Rajang untuk memberi keselesaan kepada penduduk rumah panjang tersebut.

Tuai Rumah Bangga ketika ditemui amat berterima kasih kepada Datu Len kerana cukup prihatin dengan masalah jeti di rumah panjang beliau.

Penduduk Kampung Sebayang dan Tusok yang ditemui juga amat gembira kerana projek tersebut telah lama dinantikan dan pastinya memberi manfaat yang cukup besar kepada mereka. – EDISI UKAS

Share

add comment