Kerajaan Sarawak Sentiasa Pastikan Warga Emas, OKU & Kanak-Kanak Bebas Dari Wabak COVID-19

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak kanak di negeri ini bebas daripada sebarang ancaman penularan wabak COVID-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya sentiasa memantau pematuhan pengoperasian garis panduan pencegahan dan kawalan penyakit COVID-19 di pusat-pusat jagaan warga emas, OKU dan kanak-kanak.

Menurutnya, pemantauan yang dilakukan mendapati pusat-pusat jagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan jangkitan COVID-19.

“Sepanjang proses pemantauan yang dilakukan, kitu melihat peranan pihak pengurusan pusat-pusat jagaan warga emas, OKU dan kanak-kanak dalam mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi penyakit COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan pematuhan pengoperasian garis panduan pencegahan dan kawalan penyakit COVID-19 di Pusat Jagaan Trinity Elderly Berhad pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dr. Hajah Rasihadah Bolhassan.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah Abdullah berpuas hati terhadap pihak pengurusan Trinity Elder Care selepas kadar pematuhan kepada SOP dari aspek kebersihan, penjarakan dan tindakan lain didapati adalah tinggi.

Tambahnya, terdapat 44 pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM Sarawak dan daripada jumlah tersebut sebanyak 32 pusat jagaan dipantau oleh JKM Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment