MOTAC Sambut Baik Kesepakatan Malaysia, Indonesia Benarkan Gelembung Perjalanan Reciprocal Green Lane

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyambut baik kejayaan Malaysia dalam mendapatkan kesepakatan Republik Indonesia dalam membenarkan Gelembung Perjalanan Reciprocal Green Lane/Travel Corridor Arrangement.

Menterinya Dato’ Sri Nancy Shukri dalam satu kenyataan media pada Sabtu berkata, usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan berita baik dan ditunggu-tunggu oleh kementeriannya.

“Inisiatif tersebut merupakan salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan MOTAC yang dirangka sejak Julai tahun lalu sebagai langkah untuk merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, MOTAC sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam meneroka peluang pewujudan ‘travel bubbles’ dengan negara-negara jiran yang dikenal pasti selamat oleh World Health Organization (WHO).

“Walaubagaimanapun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data, dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara,” ujar beliau lagi.

Katanya, di peringkat antarabangsa, sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global UNWTO atau UNWTO Global Tourism Crisis Committee, Malaysia turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman SOP merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat bagi memudahkan perjalanan, dengan mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi kesihatan negara masing-masing. – EDISI UKAS

Share

add comment