Seramai 18 Penerima Bantuan Kerusi Roda Bagi DUN Stakan

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 18 orang penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan akan menerima bantuan kerusi roda menerusi Program Ziarah Kasih DUN Stakan.

Majlis simbolik penyerahan kerusi roda itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud di Pusat Khidmat ADUN Stakan pada Sabtu.

Berucap ringkas dalam program itu, Datuk Amar Mohammad Ali berkata, penyerahan bantuan kerusi roda tersebut akan dilakukan oleh Pergerakan Wanita Stakan menerusi Program Ziarah Kasih di lapan kawasan.

Jelas beliau, lapan kawasan tersebut adalah Kampung Binyuk (2), Merdang Limau (2), Sungai Empit (1), Pengkalan Kuap (2), Sri Arjuna (3), Jawa Semenggok (5), Stakan Melayu (1) dan Taman Samarindah (2).

“Justeru, saya berharap agar bantuan kerusi roda ini dapat membantu meringankan beban golongan pesakit yang amat memerlukan bantuan kerusi roda terutamanya di kawasan DUN Stakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan golongan yang memerlukan.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Jerry Zannudin Bidin, Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohd Ainie Wahab dan Ketua Masyarakat dan Kaum Ketua Daerah Samarahan. -EDISI UKAS

Share

add comment