SUPP Miri Akur Keputusan JPBN Sarawak Tiada Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina 2021

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini hanya diadakan di peringkat keluarga sahaja.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, pihaknya akur dengan keputusan JPBN Sarawak untuk tidak membenarkan rumah terbuka dan aktiviti-aktiviti lain bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19.

Ujarnya, ini termasuklah kediaman beliau sendiri, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang.

“JPBN Sarawak telah mengeluarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Tahun Baharu Cina dengan tidak membenarkan segala bentuk rumah terbuka diadakan.

“Ini termasuklah juga aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, tarian singa atau naga, makan besar di hotel atau restoran, sambutan di tokong atau tempat awam dan mengadakan Bazaar Tahun Baru Cina di kawasan terbuka, hotel atau tempat membeli belah serta aktiviti mengagihkan buah limau kepada orang ramai di tempat awam adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Tahun Baharu Cina 2021 yang diadakan di Pejabat SUPP Cawangan Piasau Miri pada Sabtu.

Datuk Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini hanya dibenarkan di kalangan keluarga sahaja.

“Aktiviti ziarah antara ahli keluarga hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan untuk keluarga terdekat dengan tidak melebihi 20 orang.

“Ini adalah untuk pastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin untuk pastikan rantaian penularan wabak COVID-19 dapat dibendung,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu sempat mengingatkan orang awam khususnya di Bandaraya Miri supaya mengikut amalan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Juga, mengelakkan 3C seperti jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjaga keselamatan bersama.

Hadir sama Datuk Sebastian Ting dan Adam Yii. -EDISI UKAS

Share

add comment