Tiga Sekolah Di Betong Terima Sumbangan Tablet

SABTU, 6 FEBRUARI 2021

BETONG: Seramai 287 pelajar Tingkatan 5 Cohort 2021 dari SMK St Augustine, SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK Ulu Layar menerima sumbangan tablet sumbangan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan N.36 Layar.

Penyerahan sumbangan fasa awal itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu pada Jumaat bertempat di Pusat Khidmat ADUN Layar.

Menurut Gerald, sumbangan diusahakan Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar dengan bantuan beberapa badan korporat dan individu perseorangan itu bertujuan memperluaskan akses dan menambah baik kelangsungan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Katanya, sumbangan itu juga bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang terlibat selain sebagai usaha merapatkan jurang digital dan kualiti bahan pembelajaran antara murid di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Jelas beliau, pihak sekolah bebas untuk mengenakan sekatan terhadap penggunaan tablet berkenaan dan memastikan ianya digunakan dengan betul untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Menyentuh kesan pandemik COVID-19 terhadap sesi pembelajaran dan prestasi pelajar di kawasan itu, Gerald menggesa Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar untuk melihat perkara tersebut dan merangka tindakan untuk mengatasinya.

Ujarnya, cadangan dari mana-mana pihak khususnya pihak sekolah amatlah dialu-alukan. – EDISI UKAS

Share

add comment