Padah Langgar SOP PKPB, 40 Pelanggan Di Dua Premis Bintulu Dikompaun

AHAD, 7 FEBRUARI 2021

BINTULU : Hasil serbuan Pasukan Pemantau Pematuhan SOP PKPB Op COVID-19 di kawasan Jalan Tun Ahmad Zaidi Bintulu pada Jumaat mendapati, dua premis telah melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zulkipli Suhaili, serbuan pertama dilakukan di sebuah Bistro yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan.

Manakala serbuan kedua di sebuah Pusat Hiburan KTV berdekatan, yang dikesan beroperasi secara diam dengan menutup pintu hadapan dan belakang premis bagi mengaburi mata penguatkuasa.

Pasukan yang terdiri daripada anggota polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, diketuai Inspektor Nixon Malang, telah bertindak mengeluarkan kompaun ke atas 40 pelanggan, warga tempatan berusia antara 19 hingga 49 tahun di kedua-dua premis berkenaan.

Dalam serbuan di Pusat Hiburan KTV berkenaan turut menyiasat dua penjaga (warganegara asing) yang masing-masingnya tidak memiliki lesen operasi hiburan dan tiada sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Melihat serius perkara ini, jelas Superitenden Zulkipli lagi, pihaknya akan terus memperketatkan pemantauan bagi mengesan mana-mana pengusaha dan pelanggan yang masih berdegil melanggar undang-undang. -EDISI UKAS

Share

add comment