Pasar Sentral Sibu Ditutup Seminggu

AHAD, 7 FEBRUARI 2021

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengambil keputusan untuk menutup Pasar Sentral Sibu dan Kompleks Tempat Letak Kereta Sibu selama tujuh hari bermula dari 8 hingga 14 Februari ini.

Penutupan itu susulan laporan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu bahawa terdapat 47 kes positif jangkitan COVID-19 dalam seminggu di kalangan kakitangan, peniaga dan ahli keluarga.

Dalam notis dikeluarkan hari ini, MPS memberitahu penutupan itu bagi memberi laluan pelaksanaan operasi sanitasi di kompleks tersebut demi keselamatan pengendali, kakitangan dan orang awam di Sibu.

Sehubungan itu, MPS meminta persefahaman dan kerjasama dari semua operator di Pasar Sentral dan Kompleks Tempat Letak Kereta Sibu yang dilesen dan dikendalikan di bawah bidang kuasa MPS untuk menutup sementara perniagaan masing-masing sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Semua penjaja, pengendali gerai dan masyarakat umum terutama mereka yang mengalami gejala COVID-19 juga diingatkan untuk segera menjalani ujian calitan PCR di klinik kerajaan terdekat atau di Pustaka Negeri Sibu yang disediakan KKM.

Orang ramai juga digesa agar terus mematuhi garis panduan ditetapkan dan peka dengan arahan dikeluarkan JPBN Sarawak dari masa ke semasa. – EDISI UKAS

Share

add comment