Pasar Tamu Dan Pasar Malam Bintulu Ditutup Sementara Berkuatkuasa Minggu Ini

AHAD, 7 FEBRUARI 2021

BINTULU: Melihat perkembangan penularan wabak pandemik COVID-19 semakin meningkat di Bahagian Bintulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu telah mengambil ketetapan menutup sementara Pasar Tamu dan Pasar Malam. 

Menteri Utiliti Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata arahan tersebut diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkuatkuasa Sabtu malam selepas mendapat maklumat ada pesakit COVID-19 telah dikesan datang ke Pasar Tamu dan Pasar Malam. 

“Penularan wabak pandemik COVID-19 di Bahagian Bintulu ada kena mengena dengan kawasan baharu iaitu Pasar Tamu. Dengan itu, kita terpaksa mengambil tindakan untuk ‘lockdown’ kawasan Pasar Tamu mulai malam ini (Sabtu). 

“Kita juga akan mengarahkan Jabatan Kesihatan untuk melakukan ujian saringan COVID-19. 

“Saya harap semua yang terlibat dalam penjualan di Pasar Tamu dan mungkin juga ada kaitan dengan Pasar Malam untuk mengambil maklumat ini supaya mereka bersedia,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Sabtu. 

Tambah Dato’ Sri Dr Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, pada Jumaat lepas Bintulu telah mencatatkan sebanyak 36 kes COVID-19 dan hari ini (Sabtu) mempunyai 4 lagi kes baharu.

Berdasarkan rekod tersebut, JPBB Bintulu telah mengenal pasti Pasar Tamu Bintulu sebagai kawasan baru yang berisiko dan tidak menolak kemungkinan kes di Pasar Tamu Bintulu juga mempunyai kaitan dengan Pasar Malam Bintulu.

Ujarnya lagi, Pasar Malam Bintulu pula akan ditutup sementara berkuat kuasa pada malam Ahad. 

Sehubungan itu, Dato Sri Stephen Rundi berharap semua penjaja yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan dapat memberikan kerjasama kepada JPBB Bintulu khususnya KKM dalam melakukan ujian saringan dan calitan COVID-19 dalam masa terdekat ini. 

Turut hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing, Pengerusi JPBB Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili. -EDISI UKAS

Share

add comment