Tuai Rumah Berperanan Penting Bantu Kawal Penularan Wabak COVID-19 Di Rumah Panjang

AHAD, 7 FEBRUARI 2021

JULAU: Tuai rumah berperanan penting dalam membantu kerajaan membanteras penularan wabak COVID-19 di kawasan penempatan rumah panjang.

Menurut Kaunselor kawasan Ulu Entaih Gundi Matan, tuai rumah merupakan orang yang berpengaruh dan sangat dihormati penduduk rumah panjang. 

“Sebagai orang yang dihormati dan dikagumi, tuai rumah berperanan penting dalam membantu kerajaan membanteras penularan wabak COVID-19 di kawasan rumah panjang. 

“Ini kerana penduduk rumah panjang akan sentiasa mematuhi setiap arahan tuai-tuai rumah,” katanya semasa diminta mengulas mengenai peranan tuai rumah dalam membantu membanteras penularan wabak COVID-19 di rumah panjang yang semakin meningkat ketika ini pada Sabtu. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nyakin Sungai Bangkit Tuai Rumah Nyakin Ganya berkata, beliau bersama ahli-ahli JKKK telah mengetatkan kemasukan ke kawasan rumah panjang sebagai langkah pencegahan penularan wabak pandemik COVID-19 di rumah panjang. 

“Kita mengakui penularan wabak COVID-19 kini telah meresap di dalam komuniti rumah panjang. 

“Ini sangat membimbangkan penduduk rumah panjang dan langkah awal penting untuk pastikan wabak ini tidak merebak di rumah panjang kami.

“Sehingga kini, kawalan keselamatan di rumah panjang beliau amatlah terkawal,” ujarnya. 

Baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu virus COVID-19 ini telah meresap ke dalam komuniti penduduk rumah panjang dan beberapa tindakan susulan telah dilaksanakan bagi membanteras wabak COVID-19 termasuk melaksanakan ‘lockdown’ di rumah panjang dan membuat ujian saringan dan calitan COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment