Ahli Parlimen Igan Tinjau Hospital Daro

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

DARO: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Daro telah mengadakan lawatan ke Hospital Daro pada Isnin untuk meninjau fasiliti di hospital berkenaan.

Lawatan itu susulan permintaan pihak Hospital Daro untuk menambah baik fasiliti hospital sebagai langkah siap siaga untuk menghadapi pandemik COVID-19.

Semasa lawatan itu, Ahmad Johnie bersetuju untuk membina tandas bagi kegunaan Pesakit Bawah Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) yang datang ke Hospital Daro.

Malah beliau juga bersetuju untuk menambah baik bilik pengasingan bagi menempatkan individu yang disyaki terkena jangkitan COVID-19.

Hadir sama Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Jurutera Daerah JKR Matu Daro Awang Dasuki Awang Dol dan Pengarah Hospital Daro Dr AlHusna Dahian. – EDISI UKAS

Share

add comment