Beberapa PPS Di Seluruh Sarawak Ditutup, Mangsa Dibenarkan Balik Ke Rumah Masing-Masing

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

KUCHING: Beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak telah banyak ditutup ekoran keadaan banjir kembali pulih dan selamat. 

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan pada Isnin, setakat jam 8.00 pagi hanya 9 PPS masih dibuka dan menempatkan 813 mangsa banjir dari 275 keluarga masih tinggal sementara di PPS di dua daerah iaitu Simunjan dan Serian. 

Daerah Serian masih mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 638 orang dari 210 keluarga di lima PPS yang masih dibuka antaranya PPS Dewan Kampung Slabi Entukuh 42 mangsa, PPS SK Tanah Puteh 338 mangsa, PPS Dewan Masyrakat Serian 148 mangsa, PPS Dewan Kampung Rimba Padi 75 mangsa dan PPS Dewan Serbaguna Ranchan 35 mangsa. 

Sementara itu, di Daerah Simunjan pula seramai 175 mangsa banjir dari 65 buah keluarga masih berlindung di PPS antaranya PPS Dewan Masyarakat Lubok Buntin 27 mangsa, PPS Dewan Mesra Simunjan 96 mangsa, PPS Dewan Kampung Entangor Sebuyau 40 mangsa dan PPS Masjid Kampung Seruyuk Sebuyau 12 mangsa. 

Begitupun, keadaan cuaca di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian masih lagi tidak menentu dengan hujan lebat yang berterusan masih lagi turun. -EDISI UKAS

Share

add comment