Cadangan Bina Saliran Pengairan Baharu, Atasi Banjir Di Samarahan

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan saliran pengairan yang baharu serta memperbanyakkan kawasan saliran air dari kawasan pertanian dan perladangan ke sungai-sungai utama merupakan rancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di bahagian Kota Samarahan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, meskipun kerja-kerja penyelenggaran perparitan telah dilaksanakan secara berkala, namun ia belum dapat menyelesaikan masalah banjir.

Menurutnya, ini memandangkan terdapat faktor lain seperti kewujudan ladang-ladang dan kawasan pertanian yang luas yang menuntut sistem pengairan dan saliran perlu ditambah baik mengikut keperluan semasa.

“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Samarahan, Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan dan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk kita mengatasi masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Bangka Semong dan PPS Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, penduduk Samarahan perlu bersedia dalam menghadapi bencana berganda bukan sahaja banjir yang telah masuk gelombang ketiga, malah wabak COVID-19 yang kini masih menular di Sarawak.

“Bencana banjir di Sarawak dijangka berulang dengan kemuncak fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada penghujung Februari ini,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment