Keperluan Mangsa Banjir Di Simunjan Sentiasa Jadi Keutamaan

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

SIMUNJAN: Prihatin dengan kepayahan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri turun padang dan bertemu dengan mereka pada Ahad.

Menurutnya, meskipun beliau tidak berada di kawasan sebelum ini atas urusan kerja, bantuan tetap disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong pada Jumaat lepas.

Ini kerana jelas beliau, keperluan mangsa-mangsa banjir yang terjejas sentiasa menjadi keutamaan bagi dirinya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

“Walaupun saya tidak berada di kawasan sebelum ini, bantuan makanan tetap diagihkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dan pihak-pihak lain,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di PPS Dewan Mesra Simunjan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semua petugas yang memastikan keselesaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Beliau juga menjelaskan, semua mangsa banjir belum lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan cuaca yang masih tidak menentu. -EDISI UKAS

Share

add comment