Kerajaan Sarawak Sentiasa Prihatin Dengan Warga PKS

ISNIN, 8 FEBRUARI 2021

LAWAS: Pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disarankan agar memohon bantuan yang diumumkan kerajaan di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membantu mereka menghadapi cabaran semasa dari pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, menerusi lima pakej BKSS, bantuan sebanyak RM3.14 bilion telah diperuntukkan yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat termasuk golongan peniaga.

Malah jelasnya, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM141.7 juta di bawah pakej BKSS 5.0.

“Peruntukan yang diluluskan ini diharapkan dapat membantu mana-mana perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Lawas pada Ahad.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat di negeri ini agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan ketika Tahun Baru Cina akan datang.

“Kita seharusnya sedar dan faham bahawa virus COVID-19 ini masih ada di sekeliling kita, justeru kita haruslah sentiasa mematuhi segala SOP bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Ngumbang. -EDISI UKAS

Share

add comment